Nyamuk Aedes Aegypti ditunjukkan dalam gambar Pusat Kawalan Penyakit (CDC) pada 2006. Foto REUTERS
PBTSELANGOR

Kes denggi Petaling Jaya turun 71 peratus setakat September

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kes demam denggi sekitar Petaling Jaya turun 71 peratus kepada 952 kes setakat 18 September berbanding 3,240 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Sebanyak sembilan lokaliti wabak terkawal turut dilaporkan, satu lokaliti tidak terkawal dan satu lagi titik panas, juga dalam tempoh sama, menurut Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Meskipun laporan kes demam denggi menurun, Majlis berharap penduduk Petaling Jaya tidak alpa menjaga kebersihan kediaman masing-masing,” kata Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menasihatkan orang ramai meluangkan masa 10 minit membersihkan rumah dengan memusnahkan bekas yang boleh membiak Aedes.

Menurut MBPJ, kawasan takungan air seperti saluran hujan tersumbat dan lantai rata juga perlu sentiasa dibersihkan selain meletakkan ubat jentik-jentik.

“Komitmen penuh dan kerjasama semua penduduk Petaling Jaya amatlah diharapkan bagi memastikan kes denggi ini akan terus menurun.

“Lindungi diri, masyarakat serta keluarga anda dari bahaya demam denggi yang boleh membawa maut. Tiada Aedes tiada denggi,” kata PBT itu lagi.


Pengarang :