Pemandangan dari udara Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang dinyahwarta untuk pembangunan tetapi diganti dengan hutan gambut dan bukit yang sama nilai biodiversiti. Foto oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor
AGENDANASIONAL

KeTSA bantu usaha pemulihan Hutan Simpan Kuala Langat Utara

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan membantu usaha restorasi kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), kata Menterinya Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan keputusan kerajaan Selangor menghentikan cadangan pelan pembangunan di kawasan itu.

Beliau berkata KeTSA menyambut baik keputusan kerajaan Selangor untuk menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan HSKLU seluas 536.7 hektar yang dinyahwartakan baru-baru ini, dan akan memulakan proses pewartaan semula sebahagian besar kawasan terbabit sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Katanya, KeTSA telah mengarahkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains memberikan kerjasama membantu kerajaan Selangor untuk memelihara dan memulihkan kawasan HSKLU.

“Kawasan HSKLU adalah hutan paya gambut, (kerjasama) ini adalah bagi memastikan fungsinya dalam memberikan perkhidmatan ekosistem sentiasa terpelihara di samping bagi mencegah kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 8 Sept lepas, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan hanya 42 hektar daripada jumlah keseluruhan 536.7 hektar kawasan HSKLU kekal dinyahwarta.

Amirudin berkata tindakan itu bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu tertangguh sejak 2006 yang mana mereka telah dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Takiyuddin berkata KeTSA juga mengalu-alukan penglibatan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak komuniti setempat untuk memulihkan hutan simpan HSKLU.

Beliau dalam pada itu berkata KeTSA turut menyambut baik keputusan kerajaan Selangor untuk mengekalkan status kawasan gantian seluas 579.64 hektar yang diwartakan sebagai HSK iaitu Hutan Simpan Sungai Panjang, Hutan Simpan Buloh Telor Barat, Hutan Simpan Buloh Telor Timur dan Hutan Simpan Broga.

“Ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan selaras dengan komitmen yang dinyatakan di peringkat antarabangsa,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :