Peserta Vaksin Selangor (Selvax) bergerak beratur menuggu giliran bagi menerima suntikan pelalian di Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 21 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ketua kampung anggap amal jariah bantu orang ramai dapat vaksin

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kerja sukarela mencari penduduk Kampung Padang Jawa yang belum divaksin dianggap amal jariah bagi memastikan kawasan itu bebas ancaman Covid-19, kata ketua kampungnya.

Fadzillah Hisham Ismail berkata gerak kerja bermula awal Ogos dibuat apabila pihaknya mendapat maklum balas masih ramai penduduk terutama warga asing belum menerima suntikan pelalian.

Jelasnya, ada antara mereka juga bimbang tidak dapat berjemaah di masjid dan meminta bantuannya sebagai pemimpin komuniti untuk mencari alternatif.

“Saya bawa kepada pihak atasan untuk pertimbangan, Alhamdulillah kampung kami dipilih untuk program Selvax bergerak yang memudahkan penduduk datang.

Pengerusi MPKK Kampung Padan Jawa, Fadzillah Hisham Ismail

“Kerja sukarela ini amal jariah kerana bantu mewujudkan keadaan selamat dan membolehkan orang ramai menjalani kehidupan seperti biasa termasuk solat di masjid,” katanya.

Fadzillah yang ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa hari ini menambah sebanyak 700 dos pelalian disediakan untuk menampung keperluan penduduk.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyediakan program seperti ini yang memudahkan orang ramai mendapat vaksin,” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu dibuat secara berperingkat antaranya membabitkan DUN Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali dan Hulu Bernam.

Program tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing dengan membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).


Pengarang :