Petugas kesihatan menguruskan jenazah yang meninggal akibat wabak Covid-19 ketika tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada 9 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Khairy: Kawalan kendiri jadi fokus KKM kurangkan kes BID

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi tumpuan segera dalam mengurangkan kes kematian akibat Covid-19 di luar hospital (BID), kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata selain ujian saringan dan vaksinasi, perkara yang turut perlu ditumpukan adalah kawalan kendiri.

“Kita dapati bahawa sebahagian daripada mereka yang dilapor sebagai BID adalah yang pada awalnya di kategori satu dan dua, tetapi dalam tempoh masa singkat terus ke kategori lima.

“Sebab itu kita ingin umumkan, kawalan kendiri perlu dilaksanakan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata pesakit Covid-19 perlu menjalani pemeriksaan segera sekiranya mengalami kemerosotan gejala atau tanda seperti berikut:

-Demam berpanjangan
-Sukar bernafas, sakit dada
-Tiada selera makan dan minum, kelesuan bertambah teruk
-Perubahan status mental, kurang tahap sedar dan kekeliruan

-Batuk, muntah dan cirit teruk
-Kurang buang air kecil
-Bibir atau jari kebiruan
-Ketepuan oksigen

“Mereka yang mengalami gejala ini dinasihatkan untuk menghubungi pusat penilaian Covid-19 (CAC) dengan segera atau talian kecemasan 999,” katanya.

Selain itu beliau berkata Malaysia dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 bermula hujung Oktober ini apabila 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin.

“Kita harus terima hakikat sekalipun berjaya mengawal pandemik, kes dan kematian, Covid-19 akan jadi endemik. Banyak negara sudah beralih daripada pengekangan penuh kepada fasa baharu hidup secara sihat dan selamat walau virus ada dalam kalangan kita.

“Ubah tingkah laku, amalkan tatacara operasi piawai (SOP) berterusan, kita boleh masuk fasa baru, fasa endemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata KKM akan membekalkan lebih banyak data terperinci berkaitan Covid-19 kepada umum bermula minggu hadapan, bagi meningkatkan lagi ketelusan dalam pemberian maklumat.

“Data berkenaan akan disiarkan secara terbuka supaya orang ramai dapat melihat lebih banyak data, berbanding yang dibekalkan KKM ketika ini,” katanya.

 


Pengarang :