Petugas farmasi Aineen Sofea Mohd Sulaiman, 18, menyusun set kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 yang dijual pada harga baharu iaitu RM19.90 ketika tinjauan di sebuah farmasi di Ayer 8, Putrajaya pada 6 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kit ujian kendiri Covid-19 dijual lebih murah sebelum sekolah mula

KUALA BERANG, 25 SEPT: Harga kit ujian kendiri Covid-19 akan diturunkan lebih murah menjelang akhir bulan ini untuk memudahkan ibu bapa membuat ujian saringan, sebelum anak mereka memulakan sesi persekolahan pada 3 Okt depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata pengumuman harga terbaharu itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Penjualannya juga tidak hanya terhad di farmasi dan klinik seperti sekarang, sebaliknya akan diperluaskan ke premis perniagaan yang lain seperti pasar raya besar dan pasar mini.

“Ini akan memudahkan rakyat kerana bukan sahaja harganya lebih murah, tapi ia juga mudah untuk didapati. Walaupun penurunan harga itu belum dimuktamadkan lagi, namun jumlahnya nanti mampu dimiliki dan tidak membebankan rakyat berbanding harga sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses vaksinasi 327 Orang Asli di Kampung Sungai Berua yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong di sini hari ini.

Bermula 5 Sept, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri Covid-19 pada harga RM19.90 manakala harga borong pula RM16.

Mengulas lanjut, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan wakil beberapa persatuan pengusaha farmasi dan mereka bersetuju untuk menurunkan harga kit ujian tersebut seperti yang dihasratkan kerajaan.

“Harga sekarang walaupun sudah murah, namun agak membebankan ibu bapa terutama yang anak mereka masih ramai bersekolah.

“Jika ada lima anak, harga kit ujian kendiri yang perlu dibeli sudah mencecah RM100..harga baharu ini nanti tidak akan membebankan lagi dan yang penting buat ujian untuk pastikan anak sihat sebelum kembali ke sekolah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :