Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19 yang koma di wad unit rawatan rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 13 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM kaji taja doktor kontrak jalani latihan persekutuan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam penilaian menawarkan tajaan latihan persekutuan kepada doktor kontrak melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata usaha itu bagi memberi peluang kepada golongan terbabit menjadi doktor pakar yang setakat ini hanya diberikan kepada pegawai tetap.

“Berkenaan dengan masa depan mereka (doktor kontrak), saya amat prihatin kedudukan dan keadaan mereka.

“Kita bukan hanya melihat lanjutan tempoh kontrak yang dipersetujui kerajaan tetapi penyelesaian peluang mendapat tajaan latihan persekutuan supaya mereka dapat mengikuti pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Rusnah Aluai (PAKATAN-Tangga Batu) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau berkata sektor kesihatan negara ini kekurangan doktor pakar menyebabkan ada pesakit terpaksa menunggu dalam tempoh tertentu untuk mendapatkan rawatan susulan.

Justeru, beliau berharap Kementerian Kewangan dapat memberikan tajaan kepada doktor kontrak melanjutkan pengajian supaya mampu memenuhi keperluan pakar sedia ada.


Pengarang :