Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika hadir ke program ‘kick-off’ PICK Remaja yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) pada 20 Sept 2021. Foto Facebook KKM
AGENDANASIONAL

KKM sasar 80 peratus remaja lengkap dos sebelum buka sekolah tahun depan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos sebelum sesi persekolahan dibuka pada tahun depan.

Menterinya berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini.

Khairy Jamaluddin memaklumkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) sudah dimulakan lebih awal di Sarawak pada 8 September dan di Wilayah Persekutuan Labuan pada 11 September.

“Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) telah memberikan kelulusan untuk pelaksanaan program berkenaan di kedua-dua negeri kerana liputan imunisasi Covid-19 dalam kalangan orang dewasa di kedua-dua negeri berkenaan telah mencapai 80 peratus.

“PICK Remaja di Sabah pula bermula pada 16 September kerana sebahagian besar remaja tinggal di kawasan pedalaman dan memerlukan lebih masa bagi aktiviti jangkau luar,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Khairy mengumumkan KKM menubuhkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) untuk melaksanakan PICK Remaja yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan 1 Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali.


Pengarang :