Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Subang Jaya di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma, Shah Alam pada 19 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

KKM teliti video tular dakwa beberapa individu maut akibat vaksin

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Semua pihak diminta bertenang dan tidak menimbulkan kebimbangan awam susulan rakaman video tular mendakwa beberapa individu meninggal dunia selepas menerima vaksin Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Menerusi satu ciapan di Twitter rasminya, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti perkara berkenaan dan akan memberikan maklum balas dalam masa terdekat.

“Pihak KKM mengambil maklum akan video tular di media sosial berkenaan dakwaan kesan sampingan susulan pemberian vaksin melalui program vaksinasi remaja.

“Pihak KKM memandang serius perkara ini dan pihak KKM juga sedang mendapatkan fakta yang terperinci bagi setiap isu yang dibangkitkan di dalam video tersebut,” katanya dalam ciapan itu.

Video tular berdurasi satu minit 40 saat itu memaparkan seorang wanita mendakwa beberapa individu termasuk dua pelajar sekolah menengah di Ipoh, Perak dan seorang remaja di Lahad Datu, Sabah meninggal dunia akibat vaksin Covid-19.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dakwaan mengenai dua pelajar sekolah di Ipoh, Perak meninggal dunia selepas menerima vaksin Covid-19 seperti didakwa dalam video berkenaan adalah tidak benar.

Sementara itu, Dr Noor Azmi dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan KKM mendapati kedua-dua pelajar berusia 17 tahun di Ipoh itu masing-masing menghidap kencing manis jenis 1 dan penyakit jantung kongenital.

“Seorang remaja perempuan merupakan pesakit penyakit kencing manis jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin. Pelajar ini dijangkiti Covid-19 dan meninggal pada 18 Ogos sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula.

“Seorang remaja lelaki menghidap penyakit jantung kongenital. Pelajar ini dibawa ke Unit Kecemasan Hospital akibat jangkitan kuman yang teruk. Bantuan pernafasan dan resusitasi diberikan tetapi beliau meninggal dunia pada 17 September dan belum menerima vaksin Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Beliau berkata hasil siasatan itu turut mendapati tiada kematian melibatkan remaja selepas vaksinasi seperti dilaporkan di Lahad Datu, Sabah.

Dalam pada itu, wanita dalam video itu juga mendakwa dua anak seorang wanita sedang mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI) di Ipoh.

Merujuk perkara itu, Dr Noor Azmi berkata KKM mendapati dua beradik berusia 16 dan 18 tahun itu mengalami kesan sampingan vaksin Comirnaty dan dimasukkan ke hospital swasta di Ipoh dan semakan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mendapati laporan kesan sampingan mereka masih belum diterima.

Beliau menasihati ibu bapa atau penjaga memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty memandangkan AEFI boleh berlaku dan kebanyakan kes adalah kesan ringan.

“KKM ingin menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami AEFI untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA.

“Sebelum mengeluarkan maklumat awam, pastikan sumber maklumat yang ingin dikongsi disahkan terlebih dahulu dengan sumber sahih atau pihak bertanggungjawab,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :