Penduduk membuang air dan membersih kan rumah yang dimasuki air berikuti banjir kilat ketika tinjauan SelangorKini di Kampung Kebun Bunga, Batu 3, Shah Alam pada 27 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

Kolam tadahan di Jalan Paip dibina atasi banjir kilat

KLANG, 27 SEPT: Sebuah kolam tadahan di Jalan Paip akan dibina untuk tangani masalah banjir di Meru, kata wakil rakyatnya.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata peruntukan untuk membina kolam tadahan sudah diluluskan dan dijadual dibina dalam masa terdekat.

“Untuk peringkat awal ini tiga unit pam elektrik di Perepat diaktifkan untuk tangani banjir dan beroperasi sehingga keadaan kembali normal.

“Setakat ini tiada penduduk yang dipindahkan dan beberapa inisiatif juga diambil seperti pembersihan perparitan dilakukan supaya air mengalir,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Fakhrulrazi memaklumkan banjir kilat yang berlaku semalam melibatkan beberapa kawasan antaranya Kampung Budiman, Taman Daya Maju, Jalan Teratai, Jalan Cempaka, Jalan Haji Abdul Manan dan Taman Meru Utama.

“Punca banjir disebabkan aliran terlampau banyak daripada kebiasaan sehingga mengakibatkan banjir kilat yang agak teruk.

“Air naik di kawasan yang rendah dan di kawasan pembangunan yang menyukarkan air mengalir ke sungai,” katanya.


Pengarang :