Selangorkini
Taman Botani Negara Shah Alam dibangunkan di atas tapak Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan yang diwartakan pada 2007. Foto Facebook Taman Botani Negara Shah Alam
RENCANA

Komited lindungi hutan simpan, jamin kelestarian alam sekitar

KERAJAAN Negeri Selangor ingin menjelaskan mengenai isu projek pembangunan berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah dan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) yang sedang ditularkan
oleh beberapa pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam melalui media massa mutakhir ini.

Berdasarkan semakan, didapati kawasan projek pembangunan ini berlaku di luar kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK). Untuk makluman, kawasan HSK yang terhampir adalah Hutan Simpan Bukit Cherakah dan Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan.

Kedua-dua HSK ini telah diwartakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985. Hutan Simpan Bukit Cherakah telah diwartakan sebagai HSK pada tahun 1909 seluas 23,826 ekar.

Hutan simpan ini telah mengalami beberapa kali penyahwartaan sejak tahun 1976 bagi tujuan pembangunan seperti Bandar Puncak Alam, Alam Budiman, UiTM Puncak Alam, dan lain-lain.

Kini, Hutan Simpan Bukit Cherakah yang masih kekal adalah seluas 3,208 ekar dan masih diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebagai kelas Hutan Perlindungan.

Kawasan projek pembangunan jalan raya dan perumahan yang ditularkan ini adalah merupakan sebahagian daripada kawasan yang terlibat dengan penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah oleh Kerajaan Negeri terdahulu.

Ianya telah dinyahwartakan bagi tujuan pemberimilikan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2006 melalui PW1443.

Justeru, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada masa kini tidak lagi mempunyai bidang kuasa yang khusus dalam aspek pengurusan dan pembangunan di kawasan tersebut kerana ianya bukan berstatus tanah HSK.

Pada tahun 2007, sebahagian daripada kawasan Hutan Simpan Bukit Cherakah yang telah dinyahwartakan tersebut telah diwartakan semula sebagai Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan dengan keluasan 2,427.51 ekar.

Kawasan hutan simpan ini juga dikenali sebagai Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) yang merupakan antara taman rekreasi awam utama di sekitar Shah Alam, Daerah Petaling.

Pada dasarnya, dengan keluasan HSK sedia ada ini adalah masih mencukupi bagi tujuan riadah di kalangan masyarakat tempatan mahupun luar negara.

Pelbagai tarikan yang boleh didapati di TBNSA ini di antaranya adalah terdapat spesies-spesies dipterokarp pamah seperti Mersawa, Keruing, Kapur, Meranti, Chengal, Resak dan juga spesies-spesies terancam di bawah International Union for Conservation of Nature’s Red List of Threatened Species (IUCN) yang lain.

Kebanyakan spesies dipterokarp ini iaitu Kapur telah ditanam sewaktu era 70an lagi secara meluas sama seperti di kawasan hutan Kanching dan Bukit Lagong, Kepong.

TBNSA ini juga menjadi habitat kepada fauna seperti tapir, burung, serangga, unggas dan sebagainya. Terdapat dua empangan kecil di kawasan TBNSA ini iaitu Empangan Air Kuning dan Empangan Sungai Baru yang menjadi habitat kepada hidupan akuatik seperti ikan air tawar.

Dalam aspek penggantian HSK, hanya Kerajaan Negeri Selangor pada masa kini sahaja yang mengamalkan proses penggantian secara serentak bagi mana-mana kawasan HSK yang ingin dinyahwarta.

Ini adalah selaras dengan pindaan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2011 iaitu berkaitan keperluan penyiasatan awam bagi cadangan penyahwartaan HSK.

Walau bagaimanapun, penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah ini telah berlaku sebelum pindaan Enakmen APN 1985 ini iaitu pada tahun 2006.

Justeru, penggantian kawasan HSK secara serentak didapati tidak diamalkan oleh Kerajaan Negeri pada masa tersebut.

Hal ini membukitkan dengan jelas bahawa Kerajaan Negeri Selangor pada masa kini adalah lebih prihatin dan komited dalam melindungi hutan simpanan kekal di samping meningkatkan peratus keluasannya dari masa ke semasa.

Secara umumnya, Kerajaan Negeri Selangor pada masa kini akan memastikan segala aktiviti pembangunan di sekitar kawasan tersebut mematuhi prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa pada masa kini.

Di antaranya adalah seperti keperluan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di bawah Perintah Alam Sekeliling 2015 dan Kelulusan Merancang (KM) di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Selain itu, langkah-langkah kawalah pembangunan yang lain seperti pengekalan kawasan hijau dan penyediaan laluan hidupan liar akan turut diambil kira.

Keperluan ini adalah bagi menjamin kelestarian alam sekitar terus dipelihara di samping pembangunan sosio ekonomi di negeri Selangor dapat diuruskan secara lebih strategik.

Kenyataan EXCO alam sekitar Hee Loy Sian


Pengarang :