Selangorkini
Murid-murid menikmati sarapan percuma yang disediakan di bawah program Rancangan Makanan Tambahan. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

KPM kaji semula laksana program sarapan percuma kepada murid

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula pelaksanaan Program Sarapan (PSP) Percuma untuk murid sekolah rendah yang cuba diperkenalkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN).

Timbalan Menterinya Datuk Mohamad Alamin berkata kerajaan bersedia untuk mengkaji mana-mana bersesuaian yang memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bebas) yang bertanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk melaksana program sarapan percuma susulan lebih ramai keluarga terjejas susulan pandemik Covid-19.

PSP sepatutnya bermula Januari tahun lalu namun tidak dilaksanakan susulan perubahan kerajaan PAKATAN kepada Perikatan Nasional pada waktu itu.

Program itu dimulakan secara rintis di beberapa sekolah melibatkan 6,303 murid pada 27 Ogos sehingga 22 November 2019 selama 64 hari persekolahan.

Menjawab soalan asal Maszlee, Mohamad berkata kerajaan akan meneruskan dasar mengutamakan pengambilan pelajar dari keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) ke sekolah berasrama penuh yang diperkenal pada 2018.

“Pada waktu itu ditetapkan 60 peratus penawaran kepada pelajar B40 namun pada 2019 jumlahnya hanya 37.9 peratus dan 36.5 peratus pada 2020.

“Tahun ini jumlahnya meningkat 51.4 peratus, antara faktornya adalah strategi kementerian memperkenal kaedah permohonan secara berpusat yang membolehkan lebih ramai mendapat tempat,” katanya.


Pengarang :