Sukarelawan Selvax mengenakan pakaian tradisional dan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-64 di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma, Shah Alam pada 31 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kru kabin pilih sari tonjol semangat merdeka di PPV

SHAH ALAM, 1 SEPT: Demi menghayati semangat kemerdekaan, seorang kru kabin mengenakan sari ketika bertugas sebagai salah seorang sukarelawan di pusat vaksin (PPV) Hotel De Palma di sini.

Mira Atiqah Razak, 29, mengakui tidak pernah memakai busana tradisional masyarakat India itu sehingga terpaksa bangun seawal jam 6 pagi untuk menonton tutorial di YouTube.

Bagaimanapun, dia yang bertugas di ruang penyimpanan vaksin tetap teruja apabila berpeluang menggayakan pakaian tersebut bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 semalam.

“Pada mulanya saya terfikir untuk pakai baju kurung selepas penyelaras PPV maklumkan kami perlu memakai pakaian kebangsaan tetapi saya terdetik untuk cuba pakai sari dan terus hubungi kenalan.

Mira Atiqah Razak, 29

“Saya bersemangat walaupun tidak tahu cara memakainya. Tidak salah kalau pakai baju kaum lain, sekurang-kurangnya dapat belajar benda baharu,” katanya yang berkhidmat bersama AirAsia.

Norasikin Mustapa, 47, pula mengambil masa dua hari sebelum memilih baju kurung dilengkapi selempang dan pelitup muka bercorak Jalur Gemilang untuk digayakan pada Hari Kebangsaan.

Dia yang juga ketua pramugari Malaysia Airlines berkata busana tradisional harus dibanggakan bagi membuktikan kecintaan terhadap tanah air.

“Sejak awal Ogos lagi PPV ini menyemarak kempen bulan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu kebangsaan bersama-sama.

“Apa yang penting sebaik waktu operasi PPV tamat semalam, kita semua (petugas PPV) gembira dan dapat menikmati erti kemerdekaan itu sendiri,” katanya.


Pengarang :