Peserta kelas jahitan Pusat Aktiviti Komuniti Berdaya (PAKB) Majlis Perbandaran Subang Jaya sedang menjahit pakaian pelindung PPE di Kompleks 3C MPSJ, Subang Jaya pada 11 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kursus kemahiran percuma ditawar kepada penduduk kampung tradisi

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan Negeri menawarkan kursus kemahiran percuma kepada penduduk kampung tradisi yang berusia 17 sehingga 45 tahun, kata EXCO pembangunan luar bandar.

Borhan Aman Shah berkata kursus yang ditawarkan adalah asas baik pulih kasut, penyelenggaraan telefon bimbit, jahitan dan melukis pola pakaian, mengurut serta menjaga ibu selepas bersalin (wanita sahaja).

“Kursus ini bertujuan membimbing peserta agar lebih mahir dalam setiap bidang yang diceburi di samping menggalakkan mereka menjana pendapatan dengan berniaga.

“Tujuan utama program ini juga adalah untuk merancakkan ekonomi kampung tradisi dengan mempelbagaikan kegiatan perniagaan setempat dan mempergiat sosioekonomi komuniti kampung,” katanya menerusi Facebook.

Beliau mengalu-alukan individu yang berminat atau berpotensi dibantu menyertai program ini dengan syarat telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Menariknya, peserta berpeluang dicalonkan Anugerah Usahawan Desa Cemerlang Selangor dan memperoleh beberapa insentif menarik dari Kerajaan Negeri jika berjaya membuka perniagaan selepas kursus,” katanya.

Untuk pendaftaran atau pertanyaan boleh melayari laman sesawang https://usahawankampung.my/ sebelum 17 September ini atau hubungi 012-367 5152 (Ayu) dan 014-245 9264 (Mahadi).


Pengarang :