BUDAYARENCANA

Kurungan tingkat 20

Oleh A. Muziru Idham

Ilustrasi Matarojit

(1)

“Ziya, aku terkurung dalam ruang tidak berdinding. Bebaskan aku daripada kejahatan malam yang mengigit sendi dan urat nadiku ini. Rohku menggelupur dalam diriku sendiri. Tolong aku, Ziya!”

Malam belum menutup pintunya. Angin mati ditarah duka. Serigala malam meraung kesakitan. Hati-hati, ada penyamaran sedang menyelinap perlahan-lahan ke dalam darahmu — dan ke paru-parumu!

(2)

Seorang lelaki sedang duduk. Tingkap di hadapannya terbuka sedikit. Barangkali dia tidak mahu membukanya luas-luas. Udara luar terlalu hanyir untuk menyusup ke biliknya yang akan membuatnya tidak selesa. Di atas meja ada cawan kosong (yang meninggalkan kesan kopi pada dasarnya) dan novel The Plague karya Albert Camus. Pintu tandas dibiar terbuka dengan daki dan lendir melekit di dinding dan mangkuk tandas. 

Lelaki itu tidak berbuat apa-apa, cuma merenung ke luar jendela. Matanya memerhatikan dari tingkat 20 flat jauh ke bawah. Tiada sesiapa berlegar-legar di sana. Jeritan remaja bermain bola sepak bersuka ria dan berkejar-kejaran telah lama mati. Hanya kesunyian menggaung di setiap penjuru bilik. Ada jerit tempik dalam dirinya meminta pertolongan tetapi tidak tahu hendak diminta dari siapa.

Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Sesudah diberhentikan kerja kerana syarikat jatuh muflis, dan pemiutang mengejarnya, dia terpaksa mengurung diri dalam bilik. Duit simpanannya sudah habis. Sudah beberapa hari dia cuma mampu menghirup air mentah dari paip singki tandas. Kekasihnya meninggalkannya sejurus dia kehilangan kerja dan kemudian jadi kekasih seorang anak VIP, baru dilihatnya di Facebook, memuat naik gambar bersuka ria di Langkawi. Aneh. Perdana Menteri telah membuat pengumuman di televisyen agar semua orang berkurung di rumah. Tindakan akan diambil kalau melanggar perintah. 

Ah, celaka, aku akan terperangkap dalam hari-hari kurungan yang sunyi! 

Lelaki itu mengetuk-ngetuk meja sambil menggemakan irama Auld Lang Syne dalam kerongkongnya tanpa mengeluarkan suara. Tiba-tiba ada ketukan pada pintu bilik. Lelaki itu berpaling. Debaran mendetak. Peluh menitik. Ketukan semakin kuat.

(3)

“Tolong aku, Ziya! Segala-galanya jadi belati, menikam, mencarik nafas dan dagingku. Aku dihimpit kenangan, diterjah kesunyian yang menikam-nikam jantungku. Deritanya menolak sengsara menjadi karma yang menarah badanku.”

Seekor ular datang menyeringai dengan pandangan tajam. Kegelapan menukarkan wajahnya menjadi gergasi. Tiba-tiba terdengar bunyi tembakan. Ada jeritan terlontar, kemudian diam. Sunyi darah mengalirkan suaranya.

(4)

“Aku diutuskan untuk menarik nyawamu.”

Lelaki itu tergamam dan berundur setapak. Seorang manusia (katakanlah namanya Manusia X) berdiri di pintu dengan mengeluarkan ayat yang penuh mujarad begitu. Malaikat mautkah yang datang? Atau ada orang yang ditugaskan membunuhnya? 

Manusia X perlahan-lahan mengeluarkan sebilah pisau dari saku jubahnya. Dia masuk ke bilik lelaki tersebut sebelum menutup pintu dan menguncinya. Matanya menggelintar ke sekeliling bilik — kipas yang tidak berfungsi; katil berselerak; tong sampah penuh dan hanyir; buku dan segelas cawan di atas meja; langsir lusuh; tandas berlumut dan berdaki; dinding kehitaman (sekeping poster Hitler mati menembak dirinya ditampal di dinding); dan asbak dipenuhi abu rokok di atas lantai dengan berpuntung-puntung rokok di sekelilingnya. 

Lelaki itu berundur dan tersandar ke dinding. Biliknya tidaklah terlalu besar. Cukup tiga-empat tapak berjalan sudah bertemu dinding. Manusia X mendekati lelaki tersebut. Lelaki tersebut melihatnya penuh ketakutan. Tetapi suaranya tidak mampu dikeluarkan dari kerongkong seolah-olah sesuatu menyekat biji halkumnya. Dengan pantas Manusia X menikam perut lelaki tersebut. Darah memercik deras. 

Arghhhhhh…. lelaki itu terjaga dari tidurnya dan bangkit dengan rasa penat menjalar ke seluruh urat. Biji-biji peluh merembes ke bajunya. Dia segera sedar bahawa dia bermimpi dibunuh Manusia X dan dirinya sedang berada di atas katil yang hapak. Dia menampar-nampar pipinya, memastikan dirinya sedang terjaga di alam realiti. Dia lega seketika dan melepaskan keluhan nafas berat. Sisa penat masih terasa. 

Tiba-tiba dia perasan sesuatu. Di atas meja tergeletak sebilah pisau di atas novel The Plague. Entah bila pisau itu berada di situ. Serasa lelaki itu, dia tidak memiliki pisau sebelum itu. Dia bangun dan membelek pisau tersebut. Aneh. Serentak pintu biliknya diketuk kuat. Mata lelaki itu terbuntang luas. Jantungnya berdetak kencang. Serasa aliran darahnya semacam terhenti tiba-tiba.

(5) 

“Ziya, aku tak mampu bertahan lagi. Sunyi merenggut jantungku, aku tidak mampu bernafas dengan sempurna. Aku digelut kemurungan, aku tidak tahu apakah aku masih diperlukan lagi di dunia. Rutin-rutin hariku membunuh semangat, apakah aku punya makna hidup yang perlu kukejar sesudah terperangkap dalam ruang tidak berdinding ini. Celaka wabak yang merenggut kebebasanku. Tidak mengapalah Ziya, aku berasakan diriku tidak diperlukan lagi di dunia ini.”

Detik waktu seperti telah lumpuh. Segala-galanya terlalu zulmat dan kabur untuk difahami. Darah bercucuran merata tempat. 

(6)

Lelaki itu memegang pisau dan membelek-beleknya. Dia cuba mengingati bilakah pisau itu berada di atas meja. Setahunya dia tidak membeli apa-apa pisau sebelum ini. Apakah ertinya hidup dalam hari-hari kurungan begini? Bilik sudah jadi penjara, memerangkap kebebasannya, dan kelaparan jadi teman karibnya. Kelaparan itu seperti pisau, menyiat-nyiat perutnya perlahan-lahan, memamah urat sendinya. Barangkali dia akan lebih bahagia kalau dirinya tidak lagi merasai kesunyian dan kelaparan itu lagi. 

Lelaki itu mengambil pisau tersebut. Digenggamnya kemas. Dia sudah melihat kebahagiaan bergentayangan pada matanya. Dia ingin ke alam bahagia secepatnya.

“Tuk tuk”.

Lelaki itu berpaling ke pintu. Hatinya mempersoal siapakah itu. Ingatannya terlontar pada mimpinya tentang seorang lelaki yang datang mengetuk pintu kemudian menikamnya. Dejavu?

Dia berjalan perlahan-lahan ke arah pintu, memusing tombolnya perlahan-lahan. Tangan kanannya memegang pisau kemas yang akan digunakan untuk mempertahankan diri kalau tiba-tiba seseorang manusia (katakanlah namanya Manusia X) datang hendak membunuhnya. Baginya, mati di tangan orang lain lebih sengsara berbanding di tangan sendiri. Setidak-tidaknya, diri sendiri lebih mengetahui cara terbaik dan membahagiakan untuk mati.

Pintu dibuka. Tiada sesiapa. 

Cuma, di hadapan pintu ada sebakul makanan dan sehelai nota:

“Aku adalah dirimu pada masa hadapan. Wabak telah melontarkan sengsara ke wajahmu dan kamu tidak berdaya hendak memikul kelaparan dan kesunyian. Aku hantarkan kepadamu makanan untuk kamu teruskan kehidupan. Kita tidak boleh bertemu pada hari ini, kerana kamu akan tahu siapa dirimu pada masa hadapan nanti. Jangan mengalah dengan sengsara. Akrabilah kebahagiaan dalam jiwamu. Kamu akan temuinya jika kamu berhenti menyesali dan hadapi realiti dengan kekuatanmu sendiri.”

(7)

[Suara ratapan berhenti. Tidak lagi kedengaran di mana-mana. Kesunyian mati apabila menemui harapan yang mengibarkan bendera putihnya. Bendera putih adalah kemanusiaan yang tidak akan mati di tangan orang-orang yang mengerti bahawa kelaparan adalah kezaliman yang pemerintah tidak akan peduli.]


Pengarang :