Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya Daing Muhammad Reduan Bachok bercakap kepada SelangorKini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point, Ampang pada 16 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Laksana program padanan kerja, bantu golongan hilang pendapatan

AMPANG, 16 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya akan mengadakan program padanan kerja bagi membantu individu hilang pendapatan akibat Covid-19.

Penyelarasnya Daing Muhammad Reduan Bachok berkata pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan beberapa syarikat yang bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan terjejas

“Soal pekerjaan sangat penting ketika ini memandangkan Selangor telah beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mana rakyat perlu meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja dan mencari pendapatan.

“Apabila bekerja, kadar kebergantungan mereka terhadap kerajaan berkurang. Jadi, kita cuba aturkan dengan beberapa syarikat misalnya pasar raya untuk menawarkan pekerjaaan,” katanya kepada Selangorkini.

Ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point hari ini, Daing berkata inisiatif padanan kerja akan menyasarkan semua peringkat usia dan golongan yang diberhentikan.

“Kita tahu ramai terkesan bukan sahaja golongan berpendapatan rendah (B40) tetapi berpendapatan sederhana (M40) yang sebelum ini memiliki pendapatan yang stabil.

“Memang banyak platform pencarian kerja dalam laman sesawang tetapi kita berusaha untuk bantu selagi boleh, dari situ kita akan lihat dan nilai supaya mereka boleh dapat kerja,” katanya.

 


Pengarang :