Orang ramai melakukan aktiviti riadah bersama keluarga di Pantai Morib, Banting selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara ketika tinjauan pada 11 September 2021 . Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Langgar SOP di lokasi tumpuan awam, pengunjung degil dikompuan

SHAH ALAM, 14 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bekerjasama dengan polis melakukan pemantauan secara kerap di lokasi tumpuan awam, kata yang dipertuanya.

Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata pihaknya memberi nasihat dan teguran terlebih dahulu berhubung pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), namun kompauan akan dikeluarkan jika pengunjung terus mengingkari arahan.

“Setakat ini kita cuba menasihati dan menegur pengunjung dengan kaedah menggunakan pembesar suara termasuk hebahan SOP agar mereka lebih berwaspada.

“Tiada kompaun dikeluarkan lagi tetapi jika ada yang berdegil kita tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun kepada individu tersebut,” katanya.

Beberapa kawasan rekreasi dan pelancongan sekitar Kuala Langat menjadi tumpuan orang ramai susulan peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN)

Pada 10 September Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.

Antara kelonggaran adalah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas negeri, ibu bapa dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa anak bawah 18 tahun dan dibenarkan makan di gerai dan restoran.

Turut dibenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.


Pengarang :