Petugas dan sukarelawan program Vaksin Selangor (Selvax) bergambar sempena penutupan PPV Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 3 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Lebih 1,000 sukarelawan Team Selangor beri khidmat di 15 PPV

SHAH ALAM, 11 SEPT: Lebih 1,000 individu mendaftar sebagai sukarelawan Team Selangor yang bertugas di pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negeri ini sejak 18 Mei.

Ketua sekretariat Team Selangor berkata semua sukarelawan itu memberi khidmat bakti kepada kira-kira 16,000 individu setiap hari di 15 PPV termasuk pusat kendalian kerajaan persekutuan.

Syahaizel Keman berkata tugas mereka melibatkan proses saringan kesihatan, kaunter pendaftaran, persiapan tempat menunggu, memanggil penerima vaksin selain turut membantu golongan kurang upaya (OKU).

“Semuanya sudah bertugas lebih 128 hari setakat hari ini dan akan terus menjadi sukarelawan sehingga operasi ppv ditutup.

“Dengan mendaftar sebagai sukarelawan ia menjadi platform untuk mereka memberi khidmat bakti dan mempelajari selok-belok pengurusan krisis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau merakamkan penghargaan kepada sukarelawan berkenaan yang sedia menyahut seruan bakti kepada masyarakat meskipun berdepan risiko jangkitan.

“Terima kasih juga kepada Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.

Penyanyi Ara Johari antara selebriti yang menjadi sukarelawan Team Selangor di PPV Tropicana Gardens Mall selama lebih sebulan.

Sebelum ini, beberapa selebriti lain juga terlibat sebagai sukarelawan antaranya Daiyan Trisha, Fizo Omar, Isma Yusoof, Nazim Othman, Sherry Alhadad, Amelia Henderson dan Nadiya Nissa.


Pengarang :