Kes penceraian membabitkan pasangan beragama Islam semakin membimbangkan di Selangor sejak 2019. Trend itu menurun tahun ini berikutan kes tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 15,000 kes cerai didaftar di Selangor sejak Mac 2020

SHAH ALAM, 15 SEPT: Sebanyak 15,639 kes cerai didaftarkan di Selangor sepanjang tempoh pandemik mulai Mac 2020 hingga Ogos tahun ini, kata perdana menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 12,479 kes membabitkan pasangan beragama Islam manakala 3,160 kes lagi pasangan bukan Islam, lapor Berita Harian.

Beliau turut memaklumkan keseluruhannya sebanyak 66,440 kes cerai pasangan Islam didaftarkan di seluruh negara dalam tempoh tersebut.

“Bilangan kes perceraian yang difailkan ketika tempoh pandemik dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 bagi golongan bukan Islam di seluruh negara pula sebanyak 10,346 kes.

“Daripada jumlah ini, Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 3,160 kes, diikuti Kuala Lumpur 2,893 kes dan Perak 1,209 kes,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata hampir 80 peratus ibu bapa terkesan dari aspek ekonomi dan mental akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 melalui tinjauan secara maya, Mac lalu.

Daripada segi ekonomi keluarga, beliau berkata hampir 28 peratus ibu bapa berdepan masalah kewangan teruk berbanding tempoh gelombang pandemik dan pelaksanaan PKP sebelumnya.

“Ini terbukti apabila dapatan tinjauan mendapati 84.1 peratus ibu bapa mengalami tekanan emosi atau stres (cemas, gugup dan gelisah) ketika gelombang ketiga pandemik Covid-19 melanda.

“Faktor utama disebabkan pendidikan anak-anak (21.3 peratus), aktiviti luar terhad – terpaksa berkurung (16.4 peratus) dan tempoh PKP yang tidak dapat dipastikan (12.2 peratus),” katanya.


Pengarang :