V Ganabatirau bercakap kepada media berkaitan peruntukan rumah ibadat selain Islam (kuil) fasa 2/2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 September 2021. Foto REMY ARIFIN/ SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 15,000 komuniti India negeri dapat bakul makanan sejak pandemik

SHAH ALAM, 4 SEPT: Lebih 15,000 keluarga masyarakat India di negeri ini yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 dibantu sejak tahun lalu.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata bantuan melalui program bakul makanan bagi memastikan penduduk tidak terputus bekalan.

Beliau menjelaskan sumbangan diagih menggunakan dana rumah ibadat selain Islam berikutan projek pembinaan tidak berjalan tahun ini.

“Kita tiada peruntukan khas. Jadi gunakan peruntukan kuil untuk sediakan bakul makanan dan beri kepada keluarga memerlukan terutama B40 (golongan berpendapatan rendah),” katanya pada sidang media di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini semalam.

Selain itu, Ganabatirau berkata Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (Limas) turut menyediakan bank makanan di kuil bagi masyarakat memerlukan.

“Bank makanan bukan untuk penganut Hindu sahaja malah agama lain termasuk warga asing. Tujuan kita membantu penduduk susah tanpa mengira agama, bangsa atau kaum,” katanya.


Pengarang :