Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada seorang warga asing dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Batu Tiga di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 13 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 17 juta populasi lengkap vaksin, 21 juta dapat satu dos

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Sebanyak 53.5 peratus atau 17,480,766 daripada keseluruhan populasi di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19, setakat semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi perkongsian di https://covidnow.moh.gov.my memaklumkan sebanyak 66 peratus atau 21,573,348 pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 227,147 dos vaksin diberikan semalam menjadikan keseluruhan dos yang diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 38,990,335.

Sementara itu, setakat 11.59 malam 13 September, sebanyak 104 kematian sebenar harian Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam dan 309 kes kematian tertunggak.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 21,124 kes.

-BERNAMA


Pengarang :