Penyelaras Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam Mohd Amran Syakir (dua dari kanan) melihat proses suntikan pelalian dalam program Selvax bergerak DUN Hulu Bernam di Dewan Orang Ramai Hulu Beram pada 14 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 500 dos Vaksin Selangor habis disuntik di DUN Hulu Bernam

HULU BERNAM, 14 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di DUN Hulu Bernam mendapat sambutan apabila hampir semua dos disuntik kepada penduduk sekitar hari ini.

Penyelaras Mohd Amran Syakir berkata sepanjang program bermula 9 pagi hingga 5 petang tadi, sebanyak 520 daripada 560 yang dibawa pihak pengurusan digunakan.

“Ini menunjukkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya pelalian semakin meningkat, kebanyakan yang datang merupakan warga asing.

“Sebelum ini mereka tidak tahu boleh dapatkan vaksin percuma di Selvax jadi hari ini mereka ambil peluang bagi melindungi diri dan keluarga,” katanya ditemui di Dewan Orang Ramai Hulu Bernam.

Mohd Amran berkata orang ramai mula hadir seawal 7 pagi walaupun program hanya dijalankan dua jam kemudian.

“Kita sediakan kaunter ekspres untuk warga emas dan OKU (orang kelainan upaya) malah ruang khas disediakan dalam dewan untuk menyuntik mereka yang tidak boleh memanjat tangga bas.

“Individu yang mahu pelalian tetapi tidak dapat hadir hari ini digalakkan pergi ke Selvax bergerak DUN Batang Kali pada Khamis ini dan Kuala Kubu Bharu minggu hadapan ,” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 13 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Untuk permulaan ia melibatkan 11 DUN dan program berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Hulu Bernam, DUN terlibat Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat,, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini


Pengarang :