Foto Twitter Khairy Jamaluddin
AGENDANASIONAL

Lebih 500,000 masalah sijil vaksin MySejahtera selesai dalam seminggu

ALOR SETAR, 19 SEPT: Lebih 500,000 masalah ketiadaan paparan sijil vaksin digital di dalam aplikasi MySejahtera berjaya diselesaikan dalam tempoh seminggu ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti beberapa punca kepada masalah tersebut dan akan terus memastikan aplikasi itu mengemas kini maklumat penerima vaksin dos pertama atau dos kedua sebelum ini.

“Sebanyak 95,347 aduan tersebut berpunca daripada status penerima vaksin sebagai tanggungan, menyebabkan sijil vaksin digital individu tersebut terikat dengan pemilik akaun MySejahtera,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja beliau ke Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Beliau berkata untuk masalah tersebut, pemilik akaun perlu mengeluarkan akaun tanggungan bagi membolehkan tanggungan mendaftar akaun MySejahtera miliknya sendiri.

Khairy berkata punca lain yang dikenal pasti ialah pemilik akaun MySejahtera tidak mengesahkan nombor kad pengenalan di dalam aplikasi tersebut.

Beliau berkata untuk menyelesaikan masalah itu pengguna perlu mengesahkan nama dan nombor kad pengenalan mereka di bahagian Vaksin Covid-19 dan lengkapkan soalan-soalan berkaitan maklumat sendiri.

“(Masalah lain) ialah pengguna mempunyai lebih daripada satu akaun MySejahtera dan sijil digital vaksin hanya akan dipaparkan dalam akaun MySejahtera yang digunakan ketika menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 71,408 aduan mengenai ketiadaan paparan sijil digital vaksin didapati berpunca daripada PPV yang tidak melengkapkan proses dokumentasi setelah individu selesai menerima suntikan vaksin.

Katanya bagi isu tersebut, MySejahtera sedang membuat penyelarasan dengan PPV yang terlibat untuk memastikan pengguna akan menerima paparan sijil digital vaksin di dalam MySejahtera.

“Saya juga ingin mengingatkan para petugas PPV supaya semak dan pastikan setiap penerima vaksin telah menerima sijil vaksin digital di dalam aplikasi MySejahtera sebelum mereka meninggalkan PPV.

“Selain itu, terdapat juga aduan daripada individu yang menerima vaksin di PPV yang bukan dikendalikan oleh KKM dan ProtectHealth Corporation (Protect Health). Masalah ini berlaku kerana PPV berkenaan tidak menggunakan sistem MySejahtera,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata bagi mengatasi sebarang kesulitan disebabkan ketiadaan paparan sijil digital, individu yang telah menerima vaksinasi lengkap boleh menggunakan kad vaksinasi fizikal untuk memanfaatkan kemudahan yang diberikan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Katanya kad vaksinasi fizikal itu merupakan kad bercetak yang ditulis oleh petugas kesihatan semasa individu mendapatkan suntikan di PPV.

“Jadi saya meminta agar semua premis menerima kad fizikal ini jika individu yang sudah lengkap divaksin tiada paparan sijil vaksin digital,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :