Selangorkini
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 600 usahawan Hijrah buat penjadualan semula pinjaman

SHAH ALAM, 22 SEPT: Seramai 663 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang berdepan masalah untuk membayar balik pembiayaan membuat penjadualan semula pinjaman berjumlah RM6.7 juta sejak awal Ogos lalu.

Pengarah eksekutifnya berkata inisiatif yang diperkenal selepas berakhirnya moratorium pada penghujung Julai lalu bertujuan meringankan beban usahawan yang terkesan dengan Covid-19.

“Kita tidak mahu membebankan usahawan dan kerana itu penting untuk kita memanjangkan had tempoh pembiayaan semula pinjaman supaya jumlah bayaran dapat dikurangan selain mengelak peminjam terbeban.

“Tempoh bayaran balik pinjaman itu dipanjangkan sehingga lima tahun berbanding enam bulan hingga tiga tahun sebelum ini,” katanya Dato’ Sri Mohamad Suparadi Md Noor.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara Usahawan Hijrah: Bangkit depani Covid-19 yang disiarkan di Media Selangor, malam tadi.

Sebelum ini, seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama enam minggu yang berakhir 31 Julai lalu.

Inisiatif menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.


Pengarang :