Sebahagian pelajar menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang pada 30 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 6,000 remaja DUN Sungai Kandis selesai dos pertama vaksin

KLANG, 30 SEPT: Lebih 6,000 remaja berusia 16 dan 17 tahun sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menerima dos pertama pelalian Covid-19 setakat semalam.

Jumlah berkenaan direkodkan dalam tempoh enam hari sejak minggu lalu di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin di sini, kata wakil rakyatnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

“Dianggarkan seramai 1,000 pelajar divaksin setiap hari dan jumlah sama juga akan menerima suntikan pada hari terakhir hari ini bagi dos pertama,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengedarkan 1,000 pek makanan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) DUN Sungai Kandis di dewan sekolah berkenaan, hari ini.

Pada 23 September, Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata sebanyak 399 sekolah di negeri ini terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata sekolah yang terlibat meliputi institusi kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dan sekolah swasta.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.


Pengarang :