Ahli Dewan Negeri Pandan Indah Ir Izham Hashim (dua dari kanan) meninjau stok barangan keperluan sempena Program Agihan Bakul Makanan di Pangsapuri Merpati A Pandan Indah, Ampang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 27 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 8,000 penduduk Pandan Indah terima bakul makanan

SHAH ALAM, 1 SEPT: Lebih 8,000 penduduk Pandan Indah yang terkesan akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) diberi bakul makanan sejak Disember lalu.

Wakil rakyatnya Ir Izham Hashim berkata 1,000 bakul makanan diedar setiap bulan oleh pusat khidmatnya dengan peruntukan setiap bantuan bernilai RM50.

“Kawasan saya antara yang banyak menerima sumbangan, selain peruntukan Kerajaan Negeri kita juga menerima bantuan pihak swasta yang setiap bulan menyalurkan RM50,000 untuk 1,000 bakul makanan.

“Malah ada bakul makanan turut diagih luar kawasan Pandan Indah, kita mahu pastikan agihan dibuat secara adil bagi memastikan semua yang terkesan menerima bantuan,” katanya menerusi bual bicara bertajuk `Membangun negeri, menyambung merdeka’ yang disiarkan menerusi platform Media Selangor malam tadi.

Izham juga memaklumkan pihaknya juga memberi bantuan 500 tablet dan 200 komputer riba kepada pelajar bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Ia bukan sahaja di Pandan Indah tetapi juga seluruh Selangor dengan yang terbaru sim kad percuma selama setahun yang melibatkan 68,000 kad sim untuk diedar di seluruh Dewan Undangan Negeri.

“Saya juga difahamkan kit ujian kendiri juga akan diedar sebanyak 1,000 setiap DUN. Jadi banyak program sedang diusahakan kepada rakyat,” katanya.


Pengarang :