Petugas Selvax lengkap berpakaian tradisional Malaysia memberi suntikan pelalian Covid-19 kepada penerima dos kedua vaksin sempena Hari Kebangsaan yang ke-64 di PPV Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya pada 31 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Lebih 98 peratus kes Covid-19 libatkan pesakit kategori satu, dua

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Sebanyak 98.34 peratus atau 18,239 kes daripada keseluruhan 18,547 kes baharu Covid-19 hari ini terdiri daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata baki 308 kes (1.66 peratus) terdiri daripada kategori tiga (bergejala) hingga kategori lima (bergejala kritikal).

“12,176 (66.8 peratus) individu tidak lengkap dan tiada sejarah vaksinasi berbanding 6,063 (33.2 peratus) individu lengkap divaksin dalam kategori satu dan dua.

“239 kes (77.6 peratus) pula terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 69 kes (22.4 peratus) mereka yang lengkap divaksin dalam kategori tiga hingga lima,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak merekodkan kes harian tertinggi untuk hari kedua berturut-turut dengan 3,200 kes hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 91.5 peratus atau 1,721,274 daripada jumlah keseluruhan 1,880,734 kes positif Covid-19 negara ini adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap divaksin.

Sementara itu, sebanyak 311 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 270 warganegara dan 41 bukan warganegara dengan 93 kes kematian di luar hospital atau brought in dead (BID) yang terdiri daripada 68 warganegara dan 25 bukan warganegara.

Beliau berkata 18,902 kes sembuh dicatatkan manakala kes aktif Covid-19 di seluruh negara kini 252,002,

Seramai 977 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) disahkan Covid-19 dengan 447 orang memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Beliau berkata sebanyak 39 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 23 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, 13 kluster komuniti dan masing-masing satu bagi kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan serta di pusat tahanan.

Katanya, keseluruhan kluster aktif kini 1,465.

-BERNAMA


Pengarang :