Gerabak LRT terbabit kemalangan di laluan Kelana Jaya berjaya dibawa keluar awal pagi 27 Mei 2021. Foto Facebook Wee Ka Siong
AGENDANASIONAL

Lima daripada 23 cadangan tambah baik operasi LRT Kelana Jaya dilaksana

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Lima langkah jangka pendek daripada 23 cadangan menambah baik operasi Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya telah dilaksanakan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) susulan insiden pelanggaran melibatkan tren di laluan berkenaan Mei lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kesemua penambahbaikan yang dicadang Jawatankuasa Siasatan Kementerian Pengangkutan turut berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan seperti ditetapkan.

“Ini termasuk menetapkan dua hostler atau pemandu bagi mengendalikan tren secara manual ketika di dalam terowong dengan pemandu kedua akan berperanan sebagai pegawai keselamatan dan pematuhan, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wee terdahulu mengunjungi Kompleks Rapid Rail Subang dan diberi taklimat terkini mengenai pelaksanaan 23 cadangan berkenaan.

Menurutnya setiap pemandu juga kini dibekalkan lampu suluh berkuasa tinggi dan senarai semak yang turut disediakan di pusat kawalan operasi bagi kegunaan dan panduan dalam mengendalikan tren secara manual ketika berdepan situasi kritikal.

Beliau berkata penambahbaikan lain ialah penubuhan Jawatankuasa Pengawasan (Sighting Committee) untuk menjalankan audit terhadap tanda arah atau penanda landasan dan Jawatankuasa Keselamatan untuk melaporkan audit keselamatan kepada pengurusan kanan Prasarana dan Rapid Rail.

Wee berkata pada masa sama Rapid Rail sebagai pengendali perkhidmatan rel Prasarana juga melaporkan kemajuan yang baik dalam pelaksanaan 11 langkah jangka sederhana yang perlu dilaksanakan dalam tempoh antara tiga ke enam bulan.

“Sukacita diumumkan bahawa 73 peratus daripada kerja-kerja berkaitan telah pun selesai dan dijangka dapat disiapkan pada tarikh ditetapkan iaitu 9 Dis.

“Mengenai tujuh langkah jangka panjang pula, Prasarana bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan pihak berkuasa berkaitan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat untuk melaksanakannya secara progresif kerana terdapat perkara yang memerlukan pelaburan dan kepakaran teknikal tambahan,” katanya.

Wee turut berpuas hati dengan prestasi Prasarana dalam mendorong Rapid Rail melaksanakan penambahbaikan tambahan termasuk mengehadkan kelajuan maksimum tren yang dikendalikan secara manual kepada 20km sejam dan menambah kekerapan latihan kecekapan bagi pemandu dan eksekutif kawalan.

Selain itu, “Manual Route Reservation” (Automatic Train Protection) turut ditingkatkan manakala “Buffer Zone” (Automatic Train Protection) ditambah untuk melindungi tren yang kehilangan isyarat komunikasi supaya tren lain yang berhampiran akan berhenti pada jarak yang lebih jauh.

-BERNAMA


Pengarang :