Selangorkini
Setiap pelancong yang akan bercuti ke Pulau Langkawi, Kedah diwajibkan menjalani saringan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Lima dikesan positif Covid-19 ketika saringan ke Langkawi

SHAH ALAM, 16 SEPT: Sebanyak lima kes Covid-19 dikesan menerusi saringan melalui pintu masuk udara dan laut sebelum berlepas ke Pulau Langkawi hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes dikesan melalui ujian RTK-Ag dan berada pada tahap satu iaitu tidak bergejala.

“Kes-kes ini telah diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seramai 2,546 individu disaring merangkumi 1,250 orang di empat pintu masuk lapangan terbang dan baki melalui feri di Kuala Perlis.

Dr Noor Hisham berkata sejumlah 2,528 orang menjalani ujian RTK-Ag, enam ujian polimeras masa nyata (RT-PCR) manakala 12 kanak-kanak dibenarkan berlepas bersama keluarga tanpa saringan.

Dalam lampiran dikongsikan, lima kes itu dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Lima kontak rapat bagi kes berkenaan juga tidak dibenarkan meneruskan perjalanan.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata setiap pelancong yang akan bercuti ke Pulau Langkawi diwajibkan menjalani saringan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Beliau berkata ujian itu membabitkan individu berusia 18 tahun ke atas, remaja dan kanak-kanak tujuh tahun ke atas manakala enam tahun dan ke bawah hanya saringan gejala.


Pengarang :