BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lima kopitiam wajib pergi di Selangor, nikmati menu asli 100 tahun

SHAH ALAM, 21 SEPT: Selain nasi lemak, menu sarapan pagi kopitiam juga amat digemari rakyat Malaysia. Kopitiam secara amnya bermaksud “kedai kopi” dalam dialek Hokkien mula diperkenal di Malaysia sejak akhir 1800-an.

Kopitiam berasal dari kaum Hainan migrasi di Malaysia yang kebanyakannya terlibat dalam industri hospitaliti untuk menyara hidup pada masa tersebut. Ini lima kedai kopitiam di Selangor yang perlu anda kunjungi untuk menikmati rasa kopi asli dan roti bakar klasik yang lazat.

Auntie Kopitiam, Kuala Selangor

Auntie Kopitiam adalah kedai kopi terkenal yang terletak di Kuala Selangor dan dibuka pada 1935.
Beberapa selebriti Malaysia pernah berkunjung ke sini untuk mendapatkan kopi mereka dan banyak program televisyen juga telah dirakamkan di sini.

Selain menghirup kopi Hainan tradisional yang enak, ada juga makanan lain yang disediakan seperti nasi lemak, kuih-muih, roti bakar dan banyak lagi. Pelanggan juga dapat menikmati salah satu hidangan terbaik mereka, mi kari laksa.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-3289 7289.

 


Thong Kee Cafe, Petaling

Thong Kee Kopitiam adalah salah satu kopitiam yang terkenal di Petaling dengan menu kopi uniknya. Pemiliknya yang berpengalaman lebih 30 tahun telah mencipta menu “1+1 Cham Peng”, minuman gabungan kopi Hainan dan teh yang mendapat sambutan yang hangat dari penduduk tempatan.

Selain menu tersebut, kedai ini juga menyajikan pelbagai pilihan menu untuk sarapan termasuk roti bakar, telur separuh masak dan aneka pastri seperti croissant dan donut.

Untuk maklumat lanjut, layari: https://thongkee.com.my/ atau hubungi 03-7496 6847.

 


Chong Kok Kopitam, Klang

Dahulu merupakan sebuah hotel namun kini ia merupakan kedai kopi klasik yang sangat diminati. Mula beroperasi sejak 1940, kedai ini menyediakan menu telur separuh masak menggunakan mesin khas.

Cara ini menjadikan telur separuh masak mereka lebih sedap dan berkrim berbanding menggunakan cara klasik sebelum ini. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03 3371 0996.

 


Nam Wah Kopitiam Bt 18, Hulu Langat

Kedai ini adalah salah satu lokasi persinggahan yang terkenal dalam kalangan penunggang basikal kerana berdekatan trek laluan basikal semula jadi yang agak mencabar.

Jadi, tidak hairanlah jika anda bertemu dengan ramai penunggang basikal ketika anda menjamu selera di kedai ini. Istimewanya kedai kopitiam ini menyajikan menu roti bakar bersama kaya atau kuah kari ayam yang dimasak sendiri oleh pemiliknya.

 


Kedai Makan Hailam Sun Sun Nam Cheong, Hulu Selangor

Sun Sun Nam Cheong merupakan antara salah satu kedai kopitiam yang telah lama beroperasi dengan resipi asli mereka yang berusia 100 tahun.

Selain kopi, menu yang istimewa di kedai ini adalah Chicken Chop Hailam dan Mi Hailam. Chicken Chop
Hailam merupakan menu yang dicipta oleh kaum Hainan yang telah berhijrah ke Malaysia. Mereka kemudian kebanyakannya berkhidmat di bawah kuasa penjajah British.

Justeru, menu ini dicipta dengan konsep gabungan citarasa Barat dan Cina. Kedai ini mempunyai sijil halal, justeru menu dan bahan masakannya pasti halal. Anda boleh menjamunya tanpa ragu-ragu.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-6064 1168.

Tidak dinafikan, kedai kopitiam digemari oleh semua rakyat Malaysia, tidak kira kaum, bangsa dan agama. Jangan lepaskan peluang anda untuk merasai sendiri menu kopitiam asli di sekitar Selangor.

Namun, ketika musim pandemik Covid-19 ini, anda perlulah sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke negeri ini kelak. Maklumat juga boleh didapati melalui Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan YouTube Tourism Selangor. #ImagineNowExperienceSoon.


Pengarang :