Seorang sukarelawan (kiri) membantu orang ramai yang hadir tanpa janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) mega Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 7 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lima PPV dibenar laksana program vaksin jumpa terus di Lembah Klang

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Hanya lima pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang dibenar melaksanakan program vaksinasi Covid-19 secara jumpa terus bermula esok hingga 30 Sept ini.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kelima-lima PPV ialah Bangi Avenue Convention Centre (BACC) di Bangi, Universiti Multimedia (MMU) di Cyberjaya, Axiata Arena di Bukit Jalil, Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL British BMI) di Gombak dan Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam.

Menurut CITF pendekatan ‘quick-win’ atau cepat berhasil bagi mengoptimumkan sumber dengan membenarkan vaksinasi di kelima-lima PPV itu adalah berikutan jumlah kehadiran yang rendah bagi mendapatkan suntikan vaksin secara jumpa terus di PPV sekitar Lembah Klang.

“Pelajar institut pengajian tinggi di sekitar Lembah Klang juga boleh mendapatkan suntikan vaksin di kelima-lima PPV,” menurut kenyataan itu.

Pada 8 Sept lepas, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata program vaksinasi Covid-19 secara jumpa terus di PPV sekitar Lembah Klang akan dihentikan selepas 15 Sept.

CITF memaklumkan sehingga tarikh itu, terdapat 13 PPV yang masih beroperasi di Lembah Klang manakala 38 PPV bukan kesihatan telah ditutup setakat 14 Sept.

“Penutupan PPV ini dibuat setelah CITF meneliti data kadar penduduk Lembah Klang yang masih belum divaksinasi dan kadar kehadiran yang rendah di PPV,” katanya.

Menurut kenyataan itu, CITF akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Kesihatan bagi penglibatan ProtectHealth Corp Sdn Bhd (ProtectHealth) untuk inisiatif jumpa terus bagi populasi dewasa warga Malaysia di klinik pengamal perubatan swasta am di Lembah Klang.

ProtectHealth dijangka menawarkan perkhidmatan klinik perubatan swasta yang terpilih untuk vaksinasi jumpa terus bagi warganegara mulai 1 Okt ini.

CITF itu juga menyatakan individu yang menerima dos pertama di PPV yang sudah ditutup di Hulu Selangor dan Kuala Selangor boleh mendapatkan dos kedua secara jumpa terus di klinik seperti di bawah:

1. Hulu Selangor

Klinik SP Care Antara Gapi

No 43 & 43A & 45 Jalan Gapimas 1 Laman Gapimas, 48200 Serendah Selangor.

2. Kuala Selangor

Poliklinik Medi Ihsan No 9-G, Jalan Gaya Merak 1 Taman Gaya Merak 45700 Bukit Rotan Selangor.

Poliklinik Medi Ihsan No 7-1 Jalan Makmur 1 Taman Makmur 45500 Tanjung Karang Selangor.

Menurut CITF, vaksinasi secara jumpa terus di negeri lain diteruskan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan negeri masing-masing untuk maklumat terkini berhubung inisiatif vaksinasi jumpa terus di negeri masing-masing,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian PICK di 1800-888-828.

-BERNAMA


Pengarang :