Peserta menaiki bas untuk menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Komuniti Damansara Damai, Petaling Jaya pada 25 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lokasi kurang sesak antara sebab vaksin negeri jadi pilihan

PETALING JAYA, 25 SEPT: Lokasi suntikan vaksin negeri yang kurang sesak mendorong seorang lelaki membawa bapa saudaranya mendapatkan pelalian hari ini.

Cho Chee Cheng berkata janji temu sebelum ini di salah sebuah pusat vaksin (PPV) terpaksa ditolak berikutan tidak sesuai dengan tahap kesihatan Chen Fah Keong, 57.

“Dia mengalami masalah mata tidak nampak, selain turut menghadapi masalah kencing yang terlalu kerap, jadi PPV yang ramai orang tidak sesuai buat dirinya.

Cho Chee Cheng (kiri) bersama bapa saudaranya Chen Fah Keong

“Hari ini di sini tiada orang jadi senang untuk saya menguruskannya,” kata pembantu akauntan berusia 41 tahun itu.

Bapa saudaranya antara ratusan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan di Dewan Komuniti Damansara Damai di sini.

Sementara itu, seorang anak akur dengan permintaan ibunya yang mahu divaksin meski menghidap pelbagai penyakit kronik dan bergantung kepada ubat setiap hari.

Theresa Muliandi, 49, berkata ibunya Savariamah Arulappam, 75, nekad berbuat demikian selepas ramai ahli keluarga lain menerima suntikan vaksin.

“Sebagai anak kita takut sebab ibu ada pelbagai penyakit tetapi dia teringin selepas semua ahli keluarga lain sudah vaksin.

Theresa Muliandi (kanan) bersama ibunya Savariamah Arulappam

“Kami tanya dia betulkah mahu vaksin dan selepas berbincang adik beradik saya bawa dia ke sini,” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September dari jam 9 pagi hingga 5 petang di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berperingkat.

Antara DUN terlibat ialah Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil, Subang Jaya dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.


Pengarang :