Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor membuat ujian persampelan air sungai secara manual untuk mengesan pencemaran bau dan mengesahkan rekod bacaan TON di sungai. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENSISELANGOR

LUAS aktif siasatan kenal pasti punca pencemaran sungai

SHAH ALAM, 4 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan siasatan ke beberapa lokasi bagi mengenal pasti punca pencemaran di Sungai Buah, Dengkil semalam.

EXCO alam sekitar berkata siasatan termasuk di aliran air berhampiran sebuah kilang berdekatan Sungai Rinching, kira-kira 16km dari muka sauk Jenderam Hilir.

“Pensampelan ujian bau telah dilaksanakan di kawasan tersebut dan mendapati terdapat bau seakan pelarut yang turut dikesan di aliran pertemuan ke Sungai Rinching.

“Pada masa sama, LUAS juga telah melakukan pensampelan di kawasan muka sauk Jenderam Hilir bagi tujuan analisa Jabatan Kimia Malaysia,” kata Hee Loy Sian dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, katanya, LUAS mengambil inisiatif dengan meletakkan 14 beg serbuk karbon teraktif selain memantau dari masa ke masa bersama agensi berkaitan.

Loy Sian menjelaskan pemantauan statik dan pensampelan di Jambatan Ladang Bukit Unggul dan Jambatan Kampung Rinching Hilir turut dibuat setiap satu jam.

Sementara itu, katanya, pemantauan kualiti udara oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan beberapa parameter sebatian organik meruap (VOC), seakan analisa Pengurusan Air Selangor pada 31 Ogos.

“Susulan itu, JAS mengeluarkan notis Penahanan Operasi Kelengkapan kepada premis disyaki bawah Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk siasatan lanjut selama dua minggu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata LUAS bersama Air Selangor melepaskan air Empangan Semenyih sebanyak 227 juta liter sehari (JLH) dalam usaha meningkatkan faktor pencairan dan pembersihan sungai.

Mengikut Seksyen 79(1) (a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, pencemar air boleh berdepan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 atau lebih RM 1 juta jika sabit kesalahan.

Sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih petang semalam.


Pengarang :