Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama syarikat pengeluar zakat Richwork International Sdn Bhd mengagihkan pek makanan kepada keluarga asnaf fakir dan miskin di Flat PKNS Seksyen 7, Shah Alampada 4 September 2021. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

LZS, NGO agih 250 pek makanan kepada asnaf, fakir miskin

SHAH ALAM, 6 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama Richwork International Sdn Bhd mengagihkan 250 bakul makanan kepada keluarga asnaf fakir dan miskin di Flat PKNS Seksyen 7 pada Sabtu.

Sumbangan berkenaan diagih melalui Pertubuhan Kebajikan Richwell yang disampaikan Hafiz Jasni. Turut serta ketua pegawai eksekutif LZS Saipolyazan M. Yusop.

Setiap bakul bernilai RM120 itu mengandungi beras, minyak masak, gula, tepung, sardin, ubi kentang, bawang, rempah ratus dan barangan kering lain.

Penyerahan sumbangan itu merupakan antara aktiviti turun padang LZS bersama syarikat korporat bagi memberi pengalaman menyantuni golongan asnaf di Selangor.

LZS memaklumkan secara tidak langsung aktiviti itu mendekatkan hubungan pengeluar zakat dengan asnaf.

Selain sumbangan daripada syarikat korporat LZS turut memperuntuk sebanyak 26,350 bakul makanan melalui inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli untuk golongan yang terjejas termasuk asnaf.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan peruntukan zakat RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli bagi membantu golongan terjejas akibat pelaksanaan PKP 3.0.

Inisiatif dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember ini dijangka memanfaatkan 59,322 penerima dan 431 institusi.

 


Pengarang :