Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan kutipan fidyah berjumlah RM60,400 kepada 604 penerima di Klang, Kuala Langat dan Hulu Langat hari ini. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSISELANGOR

Mais bantu 604 keluarga di Klang, Kuala Langat dan Hulu Langat

SHAH ALAM, 11 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan kutipan fidyah berjumlah RM60,400 kepada 604 penerima di Klang, Kuala Langat dan Hulu Langat hari ini.

Sumbangan diberikan kepada golongan memerlukan menerusi pek makanan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula bernilai RM100.

“Bagi melancarkan pengagihan sumbangan, seramai 26 Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) terdiri daripada masjid dan surau di sekitar Klang, Kuala Langat Dan Hulu Langat membantu Mais menyalurkan sumbangan terus kepada penerima yang telah dikenal pasti.

“Penerima di sekitar Klang seramai 220 keluarga, Kuala Langat 72 keluarga dan Hulu Langat 312 keluarga,” kata Mais menerusi Facebook.

Mais menyeru orang ramai yang masih belum menunaikan kewajipan membayar fidyah boleh melakukannya secara dalam talian melalui http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Pada 13 Ogos, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengagihkan fidyah berjumlah RM3 juta kepada 20,000 keluarga yang terkesan akibat Covid-19 sejak awal tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bantuan tersebut disalurkan dengan anggaran RM30,000 dan RM40,000 setiap minggu serta dilakukan secara berterusan di seluruh negeri.


Pengarang :