MAIS mengagihkan sumbangan kutipan fidyah kepada 11 rakan strategik agensi itu pada 21 April 2021. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais lulus bantuan RM7.56 juta menerusi agihan fidyah setakat ini

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) meluluskan pemberian bantuan bernilai RM7.56 juta menerusi program agihan fidyah yang dilancarkan sejak 28 Disember tahun lalu.

Pengerusinya berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM4.83 juta selesai diagihkan kepada 33,398 keluarga di seluruh negeri setakat ini membabitkan bantuan pek makanan asas bernilai RM100 setiap satu.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan kelulusan paling banyak diberikan kepada penduduk yang terkesan dengan pandemik di Petaling dan Klang.

“Diharap sumbangan makanan asas seperti beras, tepung, gula dan minyak masak sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang perlu ditanggung setiap ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan fidyah kepada Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se’Malaysia (GTSM) serta masyarakat Orang Asli Islam di Bangunan Sultan Idris Shah di sini semalam.

Abdul Aziz turut mengajak semua umat Islam di negeri ini yang memerlukan bekalan makanan asas untuk menghubungi mana-mana rakan strategik agihan fidyah (RSAFM).

Menurutnya, mereka terdiri daripada Jabatan Agama Islam (Jais), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan, masjid dan surau di daerah terlibat.

“Rakan strategik akan berperanan membantu mengemaskini dan mengesahkan maklumat mereka yang memerlukan selain membantu pengagihan fidyah,” katanya.


Pengarang :