ADN Batu Tiga Rodziah Ismail menyantuni penerima vaksin Covid-19 dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Batu Tiga di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 13 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Majikan diingat lengkapkan dos vaksin pekerja sebelum beroperasi

SHAH ALAM, 14 SEPT: Majikan diingatkan supaya mengambil serius dalam memastikan semua pekerja mereka lengkap divaksin sebelum memulakan operasi perniagaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Rodziah Ismail berkata kegagalan majikan menitik berat isu vaksin terhadap pekerja akan menyebabkan imuniti kelompok tidak tercapai.

“Kerajaan pusat telah membuat polisi bahawa mana-mana individu tidak dibenarkan masuk ke beberapa jenis kedai yang memerlukan dua dos suntikan. Namun apabila disiasat terdapat dalam kalangan pekerja mereka sendiri belum lengkap.

“Saya cadangkan masyarakat jangan masuk ke kedai-kedai yang pekerjanya tidak divaksin dan melaporkannya kepada pihak berwajib,” katanya selepas meninjau program Selvax bergerak DUN Batu Tiga di Kompleks Padang Jawa semalam.

Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut mencadangkan supaya kerajaan bertegas memastikan setiap pekerja perlu lengkap dua dos vaksin selain pelanggan.

Selvax bergerak DUN Batu Tiga memperuntuk sebanyak 300 dos suntikan pelalian untuk penduduk di kawasan tersebut dengan menggunakan sebuah klinik van bergerak yang dipinjamkan Hospital Avisena.

Selvax bergerak berlangsung selama seminggu melibatkan 11 DUN bermula di Bandar Baru Klang diikuti Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.


Pengarang :