Orang ramai menunggu giliran untuk divaksin dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa, Kuala Kubu Bharu pada 24 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Majikan lega pembantu rumah warga asing dapat vaksin negeri

HULU SELANGOR, 25 SEPT: Seorang majikan lega selepas pembantu rumahnya menerima suntikan pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa semalam.

Siti Balqis Zulkifli, 40, berkata sebelum ini beliau pernah mendaftarkan pembantu rumah warga Indonesia itu untuk menerima vaksin di aplikasi MySejahtera tetapi sehingga kini tidak mendapat tarikh janji temu.

“Saya bersyukur Kerajaan Selangor menganjurkan program vaksin bergerak…selepas ini saya tidak perlu bimbang lagi sekiranya pembantu rumah menjaga anak yang juga OKU (orang kelainan upaya) dan ibu saya seorang warga emas.

Siti Balqis Zulkifli, 40

“Sepanjang tidak divaksin saya tidak membenarkan dia (pembantu rumah) keluar kerana bimbang menjadi punca penularan Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Muhammad Nur Azman Sadali, 41, berkata beliau mengambil vaksin kerana mahu berjemaah di masjid selepas sekian lama tidak masuk ke rumah ibadat tersebut.

“Sebelum ini pernah dapat tarikh janji temu tetapi lokasi jauh daripada rumah dan keadaan kesihatan kurang baik…Alhamdulillah Kerajaan Negeri anjurkan program ini yang memudahkan rakyat,” katanya.

Manakala, Cheow Yu Hang, 18, berkata beliau memilih untuk divaksin kerana bakal melanjutkan pengajian di Kolej Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur dua minggu lagi.

“Saya harap apabila lengkap divaksinasi nanti dapat ke kolej dan belajar seperti biasa kerana bersemuka lebih mudah berbanding dalam talian,” katanya yang mengambil jurusan Diploma Rekaan Multimedia.


Pengarang :