Pengguna di kawasan terjejas mengambil bekalan air melalui lori tangki yang disediakan pada 29 September 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Majoriti kawasan di Hulu Langat dapat semula bekalan air

SHAH ALAM, 29 SEPT: Sebahagian besar kawasan di wilayah Hulu Langat yang terjejas bekalan air berikutan penggantian injap semalam pulih sekurang-kurangnya 80 peratus petang tadi.

Empat kawasan iaitu Bandar Sungai Long, Taman Bukit Palma, Bandar Mahkota Cheras dan Green Park Residence pulih sepenuhnya, sementara Balakong dapat bekalan hingga 66.8 peratus.

“Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan,” kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri menasihatkan pengguna yang mendapat bekalan membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.

“Kami berharap pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan,” katanya.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Beberapa kawasan di wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air berjadual berikutan kerja penggantian injap di Taman Sri Indah Balakong, Inlet Cheras dan hadapan The Mines semalam.

Senarai kawasan yang menerima air berperingkat-peringkat selepas bekalan distabilkan dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.

 


Pengarang :