Petugas memberi suntikan pelalian kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Shahira Joharin, 29, di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 3 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Malu insiden menangis berulang, gadis ke PPV bertopeng ‘Anonymous’

PETALING JAYA, 4 SEPT: Seorang gadis sanggup memakai topeng ‘Anonymous’ untuk menutup perasaan malu ketika mengambil suntikan kedua di pusat vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall semalam.

Hadir kira-kira 30 minit sebelum PPV berkenaan ditutup, aksi comel dan selamba Shahira Joharin mencuri tumpuan ramai termasuk petugas dan sukarelawan di situ.

Gadis berusia 29 tahun itu nekad bertopeng kerana enggan insiden menangis semasa menerima dos pertama tiga minggu lalu berulang akibat dia terlalu takutkan jarum.

“Semasa suntikan pertama memang saya menangis teruk sebab terlalu takutkan jarum dan waktu itu malu sangat dengan orang sekeliling yang memerhati ke arah saya, rasa mahu cepat-cepat keluar dari PPV.

“Dengan memakai topeng, kurang sikit rasa malu kerana bimbang kalau menangis lagi tetapi saya bersyukur semua berjalan lancar, malah semakin menjadi tumpuan dengan penampilan seperti ini,” katanya.

Shahira Joharin

Shahira yang berkhidmat sebagai pegawai bank di ibu kota berkata topeng berharga RM9 itu dibeli daripada syarikat e-dagang terkemuka Shopee minggu lalu.

Anak kedua daripada lima beradik itu juga mengakui bangga menjadi antara peserta terakhir menerima vaksin di PPV berkenaan berikutan terlepas tarikh janji temu dos kedua pada 1 September.

“Sebaik selesai tugas di pejabat, saya terus ajak rakan sekerja untuk teman tanpa janji temu. Alhamdulillah, sekarang rasa lega kerana lengkap vaksin dan berharap mampu kembali menjalani kehidupan normal,” katanya.

Gadis yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur itu turut menggesa orang ramai yang belum divaksin supaya segera berbuat demikian bagi mengelak sebarang kesulitan pada kemudian hari.

“Seperti sedia maklum ke mana sahaja kita pergi akan ada syarat yang memerlukan seseorang itu lengkap vaksin, jadi seseorang itu tidak boleh bebas selamanya jika tidak disuntik,” kata Shahira.

 


Pengarang :