Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 26 Ogos 2021. Foto NAZIR KHAIRI
AGENDANASIONAL

Masyarakat digalak akses Selangor Mental Sihat, tonton video pendidikan kesihatan

SHAH ALAM, 7 SEPT : Masyarakat digalak mengakses fungsi Selangor Mental Sihat (SEHAT) menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi menangani isu mental.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata fungsi itu menyediakan pelbagai komponen berbentuk video dan forum yang dapat membantu individu mengalami tekanan ekoran pandemik Covid-19.

“Selain saringan dan intervensi awal, SEHAT turut menawarkan video pendidikan kesihatan mental daripada kaunselor berpengalaman termasuk dilengkapi jurubahasa isyarat untuk orang kelainan upaya (OKU).

“Forum SEHAT pula dibuat secara mingguan melibatkan kerjasama NGO (badan bukan kerajaan) Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa), justeru masyarakat perlu manfaatkan inisiatif ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.

Pengguna turut berpeluang menonton 30 video pendidikan kesihatan mental dilengkapi jurubahasa isyarat bagi memenuhi keperluan OKU.

Inisiatif tersebut dibangunkan dengan kerjasama kumpulan penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).


Pengarang :