Dato’ Seri Amirudin Shari bersama jemaah Masjid Kampung Nakhoda, Batu Caves pada 17 Sept 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
BERITA UTAMASELANGOR

MB ajak umat Islam berdoa Covid-19 berakhir, mudahkan urusan ibadat

SHAH ALAM, 17 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengajak jemaah Masjid Kampung Nakhoda, Batu Caves hari ini bersama-sama memohon doa supaya pandemik Covid-19 segera berakhir.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menzahirkan rasa syukur atas peluang menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di masjid berkenaan.

“Alhamdulillah berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama para jemaah dan kariah di Masjid Kampung Nakhoda, Batu Caves.

“Saya turut mengajak para jemaah untuk kita sama-sama berdoa agar wabak Covid-19 ini segera diangkat dan kita dapat melaksanakan ibadah dengan sejahtera,” katanya menerusi Facebook.

Pada 3 September, Kerajaan Selangor yang masih dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika itu membenarkan 100 jemaah yang lengkap dos vaksin menunaikan solat Jumaat di masjid manakala 50 orang bagi solat berjemaah termasuk di surau.

Kelonggaran itu perlu dibuat secara bergilir sama ada untuk solat Jumaat atau berjemaah sementara kegiatan lain seperti ceramah hanya dalam talian.

Selangor bersama Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN berkuat kuasa 10 September lalu dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang mendapat suntikan dua dos vaksin.


Pengarang :