Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas pengebumian jenazah ayahanda di tanah perkuburan Islam Kampung Parit Asam Kumbang, Benut, Pontian pada 22 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Bapa sumber inspirasi, ajar keluarga tabah berdepan cabaran

PONTIAN, 22 SEPT: Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan pemergian bapa, Shari Mokhsin yang meninggal dunia akibat serangan jantung petang semalam suatu kehilangan besar bagi diri dan keluarganya.

Dato’ Menteri Besar berkata, Allahyarham menjadi sumber inspirasi untuk menjadi orang tabah dan mampu menangani cabaran.

Amirudin berkata ketabahan Allahyarham yang bermula sebagai pegawai am selain mengusahakan kebun secara kecil-kecilan dan memandu teksi mengajarnya erti kehidupan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menutupi jenazah ayahandanya sebelum pengebumian jenazah di tanah perkuburan Islam Kampung Parit Asam Kumbang, Benut, Pontian pada 22 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kami kehilangan idola terutama saya sendiri untuk dijadikan contoh bagaimana melalui liku-liku kehidupan,” katanya selepas pengebumian jenazah bapanya di tanah perkuburan Islam Kampung Parit Asam Kumbang, Benut di sini, hari ini.

Amirudin berkata Allahyarham mempunyai sejarah penyakit jantung dan pemeriksaan perubatan mengesahkan kematian bapanya kira-kira jam 5.30 petang semalam disebabkan serangan jantung.

“Saya diberitahu ibu (Urian Parmin), bapa mengalami masalah pernafasan selepas mengambil air wuduk untuk menunaikan solat asar, sekitar setengah jam lepas itu beliau meninggal dunia.

“Agak mengejutkan sebab semalam sihat dan saya sempat berkomunikasi dengannya jam 1.30 tengah hari, beliau juga memandu ke Pontian yang mengambil masa di antara 30 hingga 40 minit dari sini,” katanya.

Jenazah Shari selamat dikebumikan jam 10.40 pagi tadi di tanah perkuburan Islam Kampung Parit Asam Kumbang, Benut.


Pengarang :