Air Selangor merupakan pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Bekalan air 463 kawasan terjejas pulih 18 jam awal

SHAH ALAM, 5 SEPT: Bekalan air di 463 kawasan terjejas berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih akibat pencemaran pulih 18 jam lebih awal dari sasaran, kata Dato’ Menteri Besar.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa peratus pemulihan bekalan air akibat gangguan tidak berjadual yang berpunca dari pencemaran telah mencecah 100 peratus.

“Bekalan air telah pulih sepenuhnya 18 jam lebih awal dari sasaran,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan bekalan air di lima wilayah iaitu Kuala Langat, Sepang, Putrajaya, Hulu Langat dan Petaling pulih sepenuhnya tengah hari ini.

Kelmarin, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah itu mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Bagaimanapun, tindakan segera agensi negeri berjaya menyelesaikan insiden tersebut dalam tempoh kurang 12 jam antaranya meletakkan 14 beg serbuk karbon teraktif bagi mengawal pencemaran.

Terdahulu, sebuah kilang berasaskan makanan di Beranang diarah menghentikan operasi selama dua minggu bermula semalam, kerana disyaki punca Sungai Semenyih tercemar.

Jabatan Alam Sekitar Selangor turut membuka kertas siasatan untuk mendakwa pemilik kilang yang disyaki menyebabkan LRA Sungai Semenyih dihenti tugas pada 31 Ogos.


Pengarang :