Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada SelangorKini selepas meninjau program Selvax bergerak di Blok 1 Flat PKNS Seksyen 7,Shah Alam pada 19 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Berusaha tangani miskin bandar, pastikan rakyat terima limpahan ekonomi

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kerajaan Negeri berusaha menangani cabaran miskin bandar bagi memastikan tiada golongan tertinggal dalam kerancakan ekonomi dan pembangunan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerancakkan ekonomi di bandar mewujudkan perbezaan di antara kaya dan miskin, malah Selangor tidak terkecuali daripada isu itu.

“Dahulu kemiskinan sering kali dikaitkan dengan luar bandar dan kehidupan bandar, namun mutakhir ini atau 10 tahun kebelakangan isu kemiskinan bandar wujud dalam negara.

“Kemajuan pembangunan sudah pasti ada limpahan ekonomi tetapi ia diikuti dengan jurang kaya dan miskin, lebih parah bagaimana kita hendak menangani kemiskinan bandar,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Sidang Perpaduan Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor (MPIS) secara maya malam tadi.

Dato’ Menteri Besar berkata perbezaan yang wujud kini bukan daripada warna kulit, agama dan kaum tetapi daripada segi ekonomi.

“Selangor boleh dikatakan 90 peratus kawasan bandar, justeru bagaimana kita hendak elak perbezaan terlalu tinggi, kesenjangan antara kaya dan miskin,” katanya.

Dalam sesi soal jawab bersama peserta program tersebut, beliau berkata bantuan yang disalurkan bukan berdasarkan fahaman politik sebaliknya mengikut keperluan rakyat.

“Pada 2008 kita menggariskan dasar penting iaitu bantuan dilaksana bukan berdasarkan fahaman politik dan diterjemah menerusi Inisiatif Peduli Rakyat yang pada awalnya terdapat lapan program sebelum diselaras kepada 34.

“Kita selaraskan kalau rakyat memerlukan, bantuan perlu disampaikan kepada mereka terus dan tidak boleh disalurkan kepada mana-mana parti politik,” katanya.


Pengarang :