Seorang pelajar mengambil gambar selepas menerima suntikan pelalian dalam Program Vaksinasi Remaja 16 dan 17 tahun Daerah Kuala Selangor di Stadium Kuala Selangor pada 28 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB kongsi tiga kaedah remaja negeri daftar program vaksin

SHAH ALAM, 29 SEPT: Terdapat tiga kaedah yang perlu diikuti remaja negeri ini bagi pendaftaran suntikan vaksin mengikut kategori sekolah masing-masing, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagi remaja bersekolah asrama penuh, sekolah pendidikan khas berasrama dan sekolah asrama harian, janji temu perlu dibuat melalui MySejahtera, jelas Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara remaja di sekolah harian, sekolah pendidikan khas harian serta sekolah antarabangsa perlu mengikut jadual vaksinasi yang boleh disemak melalui sekolah.

“Jika terdapat ibu bapa yang menandatangani borang persetujuan dan tidak dapat hadir bersama anak, serahkan surat perwakilan kepada wakil berumur 18 tahun dan ke atas yang akan menemani anak tersebut,” katanya di Facebook hari ini.

Amirudin berkata remaja di insititusi pengajian tinggi, bersekolah di rumah atau yang tidak bersekolah pula boleh hadir terus di mana-mana pusat vaksin tersenarai mengikut tarikh operasi.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.

Foto Facebook Amirudin Shari

 


Pengarang :