Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) bercakap kepada media selepas menerima cek cura berjumlah RM10.4 juta daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Projek atasi banjir 100 tahun, siap dalam tempoh setahun

SHAH ALAM, 29 SEPT: Pembangunan Projek Tebatan Banjir (RTB) jangka masa panjang sehingga 100 tahun dijangka siap dalam tempoh setahun lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebahagian projek bagi mengatasi isu banjir di negeri ini sedang berjalan dan sebahagian lagi terganggu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Projek tebatan sedia ada adalah bagi sistem saliran dan perparitan untuk tempoh 50 tahun, namun tidak mampu menampung taburan hujan yang tinggi di sesetengah kawasan.

“Kerancakan pembangunan sedikit sebanyak memaksa kita untuk menukar projek tebatan banjir, kita naik taraf sistem saliran kepada 100 tahun berbanding 50 tahun dan ini telah diputuskan tahun lepas” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi serahan sumbangan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) kepada Kerajaan Negeri di Bangunan SUK di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan sudah diberikan tetapi tidak boleh dilaksana secepat kilat kerana memerlukan laporan teknikal setiap jabatan terutama aspek kedalaman serta kelebaran.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merupakan Fokal agensi yang mengatur serta melaksanakan. Kita memang sedang buat, sebahagiannya agak tertanggu kerana PKP,” katanya.

Pada 4 November tahun lalu, Amirudin berkata pelan RTB sehingga 100 tahun dirangka sebagai penyelesaian terhadap masalah banjir di Selangor.

Beliau memaklumkan projek terbabit termasuk pembesaran Sungai Langat yang bertujuan menampung kapasiti air sekali gus mengelak banjir berulang.


Pengarang :