Orang ramai melakukan aktiviti riadah bersama keluarga di Pantai Morib, Banting pada 11 September 2021 selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran dan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB seru rakyat lengkap vaksin teroka lokasi pelancongan negeri

SHAH ALAM, 27 SEPT: Dato’ Menteri Besar menyeru rakyat yang lengkap dos vaksin supaya meneroka lokasi pelancongan di Selangor dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sokongan rakyat diyakini mampu memulihkan semula industri pelancongan negeri yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Semoga dengan Selangor memasuki fasa dua PPN dan majoriti masyarakat dewasa telah divaksin, ambil peluang untuk meneroka pelbagai tarikan pelancongan dekat mahupun jauh.

“Industri pelancongan mampu pulih dengan sokongan daripada warga Selangor, jadi ayuh bersama kitarkan ekonomi negeri meneroka tarikan-tarikan yang terdapat di Selangor Darul Ehsan,” katanya.

Menerusi hantaran di Twitter, beliau turut mengucapkan selamat hari pelancongan sedunia buat penggerak industri di Selangor, Malaysia dan seluruh dunia.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN berkuat kuasa 10 September lalu.

Peralihan fasa tersebut memberi kelonggaran kepada rakyat yang mendapat suntikan dua dos vaksin untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.


Pengarang :