Suasana dalam transit aliran ringan (LRT) yang dipenuhi orang ramai pada hari pertama peralihan fasa kedua Pelan Pemulihan Negara sekitar Lembah Klang selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran itu ketika tinjauan pada 10 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB seru terus hati-hati walau Selangor masuk fasa dua PPN

SHAH ALAM, 10 SEPT: Penduduk negeri ini diingatkan terus berjaga-jaga dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) meski Selangor beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kelalaian berbuat demikian boleh menyebabkan perebakan semula virus selain beberapa sekatan kembali dikuat kuasa.

Beliau turut mengingatkan kegagalan mematuhi SOP yang menyebabkan kadar jangkitan melonjak semula setelah mencatatkan penurunan hasil suntikan vaksin.

“Alhamdulillah, hari ini Selangor melangkah ke fasa dua PPN. Usaha berterusan meningkatkan kadar vaksinasi mula menunjukkan hasil baik terutama kadar penggunaan katil dan jangkitan yang menurun.

“Kita harus kekal berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka, menjaga jarak, mengelak tempat sesak dan menjaga kebersihan. Amalan ini sebahagian norma baharu yang harus menjadi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Selangor,” katanya di Facebook.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN berkuat kuasa hari ini dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.

Kemudahan yang diberikan sama dengan negeri-negeri yang berada dalam fasa dua sebelum ini seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) antaranya:

  • Pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas negeri
  • Ibu bapa dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa anak bawah 18 tahun
  • Dibenarkan makan di gerai dan restoran
  • Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan homestay

Negeri yang berada dalam fasa dua dan tiga turut menikmati kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, kedai dandanan rambut dan salon kecantikan.


Pengarang :