Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) meninjau proses suntikan pelalian dalam program Selvax bergerak di Blok 1 Flat PKNS Seksyen 7,Shah Alam pada 19 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB tinjau program Selvax bergerak di Pangsapuri PKNS Seksyen 7

SHAH ALAM, 19 SEPT: Dato’ Menteri Besar meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Blok 1, Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 7 di sini, hari ini.

Lawatan Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Dato’ Zamani Ahmad Mansor.

Beliau yang tiba sekitar jam 10.30 pagi melawat setiap stesen di pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak yang dikhususkan untuk penghuni di pangsapuri terbabit.

Amirudin ditemui pemberita berkata kira-kira 300 hingga 350 penduduk dijangka menerima dos pertama pelalian menerusi program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Dalam tempoh dua jam pembukaan PPV bergerak, hampir 200 penduduk mendapat vaksin dos pertama mereka dengan 70 daripadanya warga tempatan.

“Kita memerlukan usaha berterusan kerana masih ramai belum divaksin. Sebab itu kita lihat walaupun kadar rasminya mencecah 80 hingga 90 peratus (rakyat divaksin) namun ada yang belum mendaftar,” katanya.

Selain Shah Alam, program Selvax bergerak tanpa janji temu diteruskan hari ini di Dewan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 4, USJ 1, Subang Jaya.

Program dengan slot terhad itu bagi memastikan semua penduduk termasuk warga asing di Selangor mendapat suntikan pelalian Covid-19.

Minggu lalu, program sama berjaya dilaksanakan di 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) antaranya Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.


Pengarang :