AGENDANASIONAL

MB ucap takziah kepada keluarga Zaman Khan

SHAH ALAM, 11 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook menyifatkan Allahyarham sebagai anggota keselamatan yang disegani dan dihormati.

“Takziah diucapkan kepada keluarga Almarhum Tan Sri Mohd Zaman Khan, mantan Pengarah JSJ Bukit Aman.

“Seorang tokoh anggota keselamatan yang disegani dan dihormati. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya.

Zaman Khan pernah terbabit kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu dikenali sebagai Bentong Kali.

Allahyarham juga antara pegawai kanan polis yang terawal di lokasi kejadian tragedi kondominium Highland Towers pada 1993.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari tahun 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada tahun 1997.


Pengarang :